Sunday, June 21, 2009

"KECEDERAAN BUKAN SEKADAR KESAKITAN"

“Sejurus selepas mendapat kecederaan ini, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah tentang kedudukan saya dalam pasukan ini kelak. Adakah saya akan diketepikan selepas ini?”



Petikan ayat ini merupakan hasil dari temuduga secara tidak formal yang dijalankan ke atas seorang atlet yang pernah menjalani pembedahan di bahagian lututnya dan kini sedang mengikuti sesi rehabilitasi di unit fisioterapi. Apakah maksud sebenar di sebalik kenyataan itu?



Secara umumnya perkara utama yang paling sinonim dengan kecederaan ialah kesakitan. Tetapi secara khususnya, kesakitan hanyalah sebahagian daripada respon terhadap kecederaan. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan tentang respon terhadap kecederaan dari aspek psikologi seterusnya dapat sedikit sebanyak merungkai maksud sebenar kenyataan di atas.



Dari segi psikologi, respon terhadap kecederaan akan menjadi pelbagai berdasarkan beberapa elemen-elemen tertentu. Sebahagian daripada elemen yang dimaksudkan itu adalah faktor umur, jantina (gender), faktor tingkahlaku individu, personaliti serta emosi.



Pada kebiasaannya, atlet yang masih dalam peringkat awal penglibatannya dalam sukan akan lebih merasakan impak negatif terhadap kecederaan yang dialami berbanding atlet senior. Hal ini kerana, atlet-atlet muda ini merasakan seolah-olah karier mereka sudah berada di ambang kehancuran manakala atlet senior mungkin akan lebih tenang menghadapi situasi ini kerana pengalaman lepas banyak melatih golongan senior ini untuk lebih bersedia menghadapi kecederaan. Selain itu, mereka juga mungkin sudah pun bersedia untuk bersara. Justeru, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada golongan junior.



Selain itu, menurut kajian yang telah dijalankan, faktor jantina (gender) juga mempengaruhi respon terhadap kecederaan. Hasil kajian itu menyatakan bahawa lelaki akan merasa lebih tertekan apabila mengalami kecederaan berbanding wanita terutamanya apabila mereka menghadapi para penyokong, ahli pasukan yang lain dan juga jurulatih. Maka, sokongan dari semua pihak amat diperlukan.



Dari segi tingkah laku pula, atlet yang bersikap negatif terhadap kecederaan mereka biasanya akan lebih terdedah kepada kecederaan berulang (repetitive injuries) terutamanya apabila mereka menafikan kecederaan itu dan tidak mahu menjalani proses rehabilitasi dengan betul. Cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memberi informasi yang menyeluruh tentang kecederaaan mereka sehingga mereka benar-benar faham tentang situasi yang sedang dialami.



Bercakap tentang personaliti pula, terdapat 2 personaliti yang berbeza dalam menghadapi kecederaan iaitu *extrovert dan *introvert. Bagi seorang yang extrovert, mereka biasanya kurang bersabar dan mempunyai toleransi terhadap kesakitan yang tinggi, maka kemungkinan untuk golongan ini menafikan kesakitan dan kembali beraksi (lebih-lebih lagi ke pertandingan terdekat) adalah amat besar. Manakala bagi golongan introvert, mereka adalah sebaliknya dan mungkin tidak akan kembali beraksi dalam masa yang terdekat. Oleh itu adalah amat penting untuk mengenalpasti personaliti seseorang atlet itu untuk menangani mereka ketika cedera.



Dan sebagai garis panduan, berikut merupakan tanda-tanda amaran yang menunjukkan atlet tertentu sedang mengalami sindrom ketidakmampuan untuk mengadaptasi dengan kecederaan secara positif;

  • Takut untuk kembali beraksi yang melampau kerana dibimbangi akan cedera lagi.
  • Mengasingkan diri – berasa ketinggalan dan tidak berdaya.
  • Menafikan tahap kecederaan dan respon terhadap proses penyembuhan (‘denial’)
  • Tidak sabar dan tidak berasa senang.
  • Mood yang tidak stabil.
  • Rasa bersalah yang melampau kerana telah mengecewakan pasukan.
  • Obses dengan persoalan untuk kembali beraksi.

Kesimpulannya, kecederaan adalah perkara yang biasa dalam sukan. Oleh itu, para atlet perlulah bersikap positif dalam menghadapi situasi ini. Pihak lain terutamanya jurulatih dan orang yang terdekat pula haruslah memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan moral terhadap atlet-atlet yang tercedera.



*extrovert : golongan yang bersikap terbuka, senang bercampur gaul , dan bersikap peramah.

*introvert : golongan yang lebih selesa bersendiri, kurang selesa dengan interaksi sosial dan lebih pendiam.

Oleh: Norazah Binti Mohd Azawi, Pelajar praktikal dari USM, Pusat Psikologi Sukan, ISN

No comments:

Post a Comment